SHAH ALAM: Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock di sini hari ini diberitahu mendiang kelihatan agak resah ketika pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula merakam percakapannya sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna wang peruntukan kerajaan negeri Selangor pada 16 Julai lalu.
Penolong Kanan Penguasa SPRM Selangor, Mohd Nadzri Ibrahim, bagaimanapun berkata Teoh mula kelihatan tenang pada pertengahan rakaman percakapan dilakukan sehingga proses yang mengambil masa dua jam itu berakhir kira-kira pukul 3.30 pagi.
Beliau yang bertanggungjawab merakam percakapan Teoh berkata, sepanjang proses itu tangan mendiang tidak digari dan beliau juga tidak nampak sebarang kecederaan dialami oleh Teoh.
"Selepas proses rakaman selesai, saya suruh Teoh pulang dan datang semula bawa dokumen berkaitan yang lain tetapi dia minta untuk berehat sekejap, (ketika itu) kira-kira jam 3.50 pagi.
"Kali terakhir saya nampak Teoh berada di atas sofa depan bilik pemangku Penguasa Kanan SPRM Selangor Mohd Anuar Ismail sebelum saya balik ke rumah kira-kira pukul 3.55 pagi," katanya. - Berita Harian


No comments:
Post a Comment