Laman Web SPRM

Friday, September 18, 2009

Teoh kena marah dalam tandas SPRM

Saksi dengar suara Ahli Majlis Perbandaran Kajang

SHAH ALAM: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock, beliau terdengar Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah memarahi Teoh dengan suara yang kuat dan tinggi di dalam tandas pejabat SPRM Selangor, beberapa jam sebelum Teoh ditemui mati.

Penolong Penguasa SPRM Putrajaya, Bulkani Paharuddin, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi ketika beliau mengiringi Tan ke tandas.

"Sewaktu Tan masuk ke dalam tandas, saya berdiri di luar pintu tandas dan tidak lama selepas itu seorang lelaki Cina yang berseluar putih dan berbaju gelap (Teoh) datang dari arah bertentangan saya dan terus memasuki tandas yang sama.

"Ketika saya pusing nak berjalan semula ke arah pantri saya terdengar suara Tan memarahi lelaki berbaju gelap dan berseluar putih dalam bahasa Mandarin dengan menyebut 'Ni Lor' iaitu 'Awaklah' dalam nada kuat dan tinggi. Bagaimanapun saya tidak mendengar respons atau jawapan daripada seorang lagi lelaki itu (Teoh)," katanya.

Bulkani kemudian menjelaskan beliau memahami bahasa Mandarin kerana pernah mendapat pendidikan di sekolah Cina dari Darjah Satu sehingga Darjah Enam.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Kepada soalan peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia berapa lama insiden itu berlaku, saksi itu berkata beliau hanya berada di luar tandas kira-kira dua minit sebelum berjalan ke pantri untuk menghabiskan makanan yang ditinggalkannya ketika mengiringi Tan ke tandas. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment