Laman Web SPRM

Thursday, August 27, 2009

26-8-09 : Beng Hock luluskan projek

SHAH ALAM 26 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan kepala surat empat syarikat bumiputera disalahgunakan bagi menuntut peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk projek yang tidak wujud.

Perkara itu didedahkan oleh pegawai penyiasat SPRM, Mohd. Anuar Ismail berdasarkan siasatan terhadap empat dokumen yang dicetak daripada komputer riba Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Pendedahan dibuat saksi inkues ke-16 itu ketika disoal oleh Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa yang bertindak sebagai peguam pemerhati SPRM pada prosiding inkues yang didengar oleh Mahkamah Koroner di sini.

Koroner Azmil Muntapha Abas bagaimanapun mengarahkan semua keterangan berhubung syarikat terbabit dipadamkan daripada nota prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock setelah mendapat bantahan peguam pemerhati keluarga mendiang, Gobind Singh Deo.

Menurut Mohd. Anuar, 32, proses dokumentasi projek yang tidak wujud itu bertujuan mendapatkan kelulusan Beng Hock dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Disoal apakah peranan yang dimainkan oleh Beng Hock, saksi itu memberitahu, mendiang bertanggungjawab menyediakan borang-borang berkaitan bagi tujuan tuntutan serta mengesahkan kerja-kerja tersebut telah dilaksanakan.

''Siasatan terhadap empat dokumen itu mendapati kaedah yang diguna pakai oleh empat syarikat ini adalah sama iaitu mereka memberi pinjam kepada individu tertentu bagi menggunakan dokumen atau kepala surat syarikat tersebut.

''Dan mereka (empat syarikat ini) mendapat komisen antara lima hingga 10 peratus daripadanya,'' kata Mohd. Anuar.

Ekoran bantahan Gobind, Azmil memutuskan keterangan mengenai syarikat terbabit dipadamkan dengan alasan ia sebenarnya tidak termasuk dalam skop atau tujuan asal inkues siasatan kematian Beng Hock.

Jelas beliau, inkues tidak seperti perbicaraan biasa kerana tiada sesiapa yang didakwa dan hanya empat perkara yang perlu didengar sementara hal-hal lain yang menjangkaui skop inkues harus dibuang.

''Empat perkara yang relevan adalah inkues hendaklah dikendalikan dengan berhati-hati, subjek yang menjadi persoalan telah mati, waktu kematian perlu ditentukan dan adakah terdapat sebarang elemen jenayah yang menyumbang kepada kematiannya,'' ujarnya.

Mengenai empat invois yang dikemukakan oleh SPRM, Azmil berpendapat, ia relevan tetapi mesti dikemukakan menerusi saksi yang mencetak invois tersebut.

Terdahulunya, Abdul Razak menarik perhatian mahkamah kepada keterangan Mohd. Anuar yang mengatakan terdapat berkotak-kotak dokumen yang diperoleh SPRM.

''Berdasarkan dokumen tersebut saya ingin menunjukkan si mati bertanggungjawab menyediakan borang-borang tujuan tuntutan dan individu yang mengesahkan kerja-kerja tersebut telah dilaksanakan,'' jelas Abdul Razak.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak disenangi oleh Gobind dan memohon ia dipadamkan daripada nota prosiding inkues.

Namun Abdul Razak menyatakan dokumen yang dikemukakan di mahkamah terhad kepada siasatan terhadap empat syarikat terbabit berdasarkan apa yang terkandung dalam rakaman percakapan.

''Ia relevan untuk menunjukkan minda Beng Hock,'' kata Abdul Razak sambil menambah ia bukan bertujuan memburuk-memburukkan mendiang sebaliknya untuk menunjukkan ada komisen terhadap syarikat yang tidak membuat kerja.

Sementara itu, Hian Wah yang mengikuti prosiding inkues menerusi peguam pemerhatinya, Salim Bashir berkata, inkues bukanlah forum yang sesuai untuk SPRM mendedahkan pekara itu. - Utusan

No comments:

Post a Comment