Laman Web SPRM

Tuesday, August 18, 2009

Inkues Teoh: Mangsa sedang mencangkung dalam ketakutan sebelum jatuh

SHAH ALAM: Teoh Beng Hock berada dalam ketakutan semasa ditahan dalam kedudukan mencangkung pada belebas tingkap di tingkat 14 Plaza Masalam, di sini sebelum dia jatuh dan mati di tingkat lima, mahkamah koroner diberitahu hari ini.

Terdapat kesan kotor pada tingkap dan kesan calar menegak, dipercayai sebagai cap jari, yang menunjukkan bahawa Teoh melawan sebelum dia jatuh, peguam bela Gobind Singh Deo, yang menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Teoh, berkata pada inkues mengenai kematian Teoh.

Gobind Singh memberikan cadangan itu kepada pathologis forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Prashant Naresh Samberkar, yang berkata "Ianya mungkin."

"Pertimbangan saya ialah mangsa berada dalam kedudukan mencangkung. Saya berpendapat tidak mungkin si mati berdiri pada belebas tingkap memikirkan ketinggiannya 178sm," kata Dr Samberkar yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam forensik pathologi.

Katanya beliau menjumpai tanda garis berukuran 3mm pada satu-satunya kasut Teoh yang dalam pendapat saya, adalah konsisten dengan kemungkinan Teoh mencangkung di belebas tingkap.

Bagaimanapun, ketika ditanya peguam Tan Hock Chuan, bagi pihak kerajaan, sama ada kemungkinan bagi Teoh mencangkung sendiri di tingkap, Dr Samberkar berkata:" Mungkin".

Katanya kesan kotor pada kaca tingkap juga boleh dijumpai dalam kes-kes seseorang yang terjatuh secara tidak sengaja.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu.

Sebelum itu, Dr Samberkar, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Teoh berkata, tidak mungkin ini ia kes bunuh, berdasarkan kepada beberapa sebab termasuk tidak terdapat kecederaan akibat menghalang, tiada luka bertahan, tiada kecederaan pada lidah yang boleh terjadi dalam kes meronta dan tiada tekanan pada leher.

Katanya kematian itu juga tidak mungkin disebabkan oleh jatuh secara tidak sengaja kerana Teoh bukan berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

"Tidak mungkin bahawa mangsa mungkin jatuh secara tidak sengaja dengan membuka tingkap kerana penghadang tingkap terletak di atas pusat graviti tubuh dan lantai pada tingkat 14 berkarpet dan tidak licin.

"Pada pendapat saya, kemungkinan besar sebab kematian dalam kes ini, adalah berniat membunuh diri," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa beliau bukan berada di dalam kedudukan untuk mengatakan sama ada Teoh mempunyai sebarang sebab untuk membunuh diri. - Berita Harian.

No comments:

Post a Comment