Laman Web SPRM

Tuesday, August 18, 2009

Rakaman percakapan Teoh bakal dikemuka di mahkamah

SHAH ALAM: Rakaman percakapan Teoh Beng Hock yang diambil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal dikemukakan di Mahkamah Koroner bagi membantu siasatan berhubung kematian setiausaha politik itu, Julai lalu.

Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding inkues itu akan membacanya dahulu esok sebelum memutuskan sama ada ia relevan atau tidak untuk diserahkan kepada semua pihak yang turut membantunya mengendalikan kes itu.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan sebelum itu mencadangkan supaya rakaman percakapan Teoh diserahkan kepada mahkamah dan cadangan itu disokong Pengarah Perundangan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa.

Abdul Razak berkata rakaman itu boleh menunjukkan bagaimana tahap pemikiran dan mental Teoh sepanjang siasatan tetapi peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh membantah kerana pada pendapatnya keterangan itu tidak banyak membantu dan ia tidak akan menunjukkan keadaan sebenar Teoh sebelum meninggal dunia.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu. - Berita Harian.

No comments:

Post a Comment