SHAH ALAM: Aduan berhubung saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didera dengan ditampar beberapa kali, dibogelkan dan dipukul dengan batang besi bakal didedahkan dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock.
Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata beliau akan mendedahkan laporan polis yang telah dibuat oleh saksi SPRM berhubung dakwaan itu bersama-sama bukti gambar kecederaan dialami mangsa ketika disoal siasat di pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam di sini.
Gobind mendakwa antara pegawai SPRM yang terlibat melakukan penderaan fizikal itu ialah saksi ke-19, Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohd Ashraf Mohd Yunus, yang memberi keterangan dalam prosiding hari ini.
Berikutan itu, koroner Azmil Muntapha Abas menangguhkan prosiding ke 8 September bagi membolehkan Mohd Ashraf untuk melantik peguam kerana soalan yang bakal ditanya Gobind boleh mendedahkan beliau kepada pertuduhan jenayah.
Gobind berkata laporan polis itu menerangkan secara terperinci bagaimana saksi berkenaan didera oleh pegawai SPRM di Tingkat 14, pejabat SPRM Selangor.
"Ini bukan satu-satunya laporan polis yang ada pada kami, banyak lagi yang akan kami kemukakan," kata Gobind yang enggan mendedahkan identiti pengadu buat masa ini.
Berhubung dakwaan itu, peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata: "Itu sudah menjadi amalan biasa, itulah kerja mereka (untuk membuat tuduhan) selepas keluar dari pejabat SPRM atau balai polis.
"Kita tidak boleh menerima dakwaan itu begitu sahaja, sehingga ia dibuktikan kerana kes ini masih dalam siasatan," kata Abdul Razak.
Peguam yang dilantik bagi pihak kerajaan Tan Hock Chuan turut bersetuju bahawa kes penderaan yang didakwa itu tidak bersangkutan dengan prosiding inkues malah nama Mohd Ashraf juga tidak dinyatakan dalam laporan polis itu.
Beliau berkata, Mohd Ashraf berhak diwakili peguam jika mahkamah memutuskan untuk membenarkan Gobind melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi itu (Mohd Ashraf) berhubung laporan polis berkenaan.
"Saksi (Mohd Ashraf) juga perlu diterangkan mengenai haknya untuk menjawab atau berdiam diri terhadap soalan yang akan dikemukakan oleh Gobind kerana ia boleh mendedahkannya kepada satu pertuduhan jenayah," kata peguam itu.
Ketika ditanya koroner sama ada beliau faham mengenai kesan dan akibat jika menjawab soalan Gobind kelak, Mohd Ashraf, yang kelihatan tenang di dalam kandang saksi berkata: "Saya faham." - Berita Harian


No comments:
Post a Comment