Laman Web SPRM

Friday, August 21, 2009

Kenderaan SPRM 'diserang'


ANGGOTA Forensik memeriksa botol minuman keras yang digunakan sebagai bom api atau molotov cocktail untuk membakar kenderaan rasmi SPRM di Klang, semalam.


KLANG 20 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menerima cabaran apabila sebuah kenderaan rasminya yang diletakkan di pejabat cawangan Klang di sini hampir hangus selepas dilontar bom api atau molotov cocktail, awal pagi ini.

Kejadian berlaku di tempat letak kereta pejabat suruhanjaya itu di Jalan Kota di sini yang terletak hanya kira-kira 5 meter dari pintu masuk pejabat SPRM.

Seorang pegawai SPRM bertugas menyedari kejadian itu kira-kira pukul 7.12 pagi setelah mendapati bahagian hadapan kiri kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail tersebut hampir hangus.

Bagaimanapun, sebuah lagi kenderaan milik SPRM yang turut diletakkan di tempat letak kereta berbumbung berhampiran Nissan X-Trail itu tidak mengalami kerosakan.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada SPRM kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya, berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, pihaknya turut menemui empat botol minuman keras yang dipercayai digunakan untuk membakar kenderaan itu.

SUV itu digunakan untuk menjalankan tugas rasmi SPRM.

"Kita menemui empat botol minuman keras dan kesemua bahan bukti itu telah diambil untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Insiden hari ini merupakan antara ugutan yang diterima SPRM sejak kebelakangan ini.

Pada 24 Julai lalu, Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menerima sepucuk surat berbentuk ancaman bunuh untuk membalas dendam atas kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock selepas disoal siasat SPRM.

Ancaman dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Ahmad Said itu diterima melalui pos oleh pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Dalam suratnya itu, penulis tersebut menyalahkan Ahmad Said dan SPRM atas kematian Beng Hock dan mengugut untuk menembak mereka yang terlibat.

Dalam pada itu, kata Mohamad, motif penggunaan bom api itu masih belum dipastikan setakat ini dan pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut.

Pejabat SPRM terletak di bangunan yang sebelum ini merupakan kompleks Pejabat Tanah dan Daerah Klang. Ia kini telah berpindah ke bangunan baru yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan tersebut.

Difahamkan, pejabat SPRM itu yang menempatkan 12 pegawai mula beroperasi di bangunan berkenaan sejak sebulan lalu.

Selain pejabat SPRM, kompleks itu turut menempatkan pejabat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Klang. - Utusan.

No comments:

Post a Comment