SHAH ALAM 28 Ogos - Koroner Azmil Muntapha Abas hari ini menasihatkan semua pihak yang membuat ulasan berhubung prosiding inkues menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock supaya memberi kenyataan berasaskan fakta dan kebenaran semata-mata.
Meskipun beliau tidak mampu mengawal apa yang berlaku di luar mahkamah serta tiada kuasa untuk menghalang sesiapa termasuk media daripada membuat ulasan, katanya, penjelasan mestilah berdasarkan apa yang didengar dan berlaku dalam mahkamah sahaja.
Menurut Azmil, semua percakapan dan soalan yang dikemukakan terhadap saksi telah dirakam dan ia boleh dilihat oleh orang ramai melalui laman web Jabatan Peguam Negara.
''Dalam kes ini, terdapat bermacam-macam spekulasi. Untuk mahkamah bagi arahan, tidak perlu kerana apa yang berlaku di luar adalah di luar kawalan mahkamah.
''Bagaimanapun, pihak-pihak yang membuat komen dan ulasan perlu berdasarkan fakta dan jika ada penjelasan yang perlu diberi, pastikan fakta-faktanya betul.
''Untuk inkues ini, keterangan dalam mahkamah ini sahaja yang dianggap berkaitan dan akan diambil kira,'' katanya.
Terdahulu, peguam pemerhati bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghalang sebarang pihak membuat kenyataan media di luar prosiding kerana bimbang ia akan dipolitikkan.
Katanya, ini berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang didakwa mengadakan sidang media memburuk-burukkan SPRM selepas dibenarkan mengikuti prosiding inkues itu pada Rabu lalu.
''YB (Yang Berhormat) Ean buat sidang media dan komen tentang apa yang berlaku dalam mahkamah seolah-olah apa yang dibuat SPRM adalah tidak betul. Sebab itu saya tidak mahu ahli politik masuk.
''Saya cakap begini sebab saya nampak Lim Kit Siang pula masuk hari ini. Saya harap beliau tidak membuat komen di luar,'' katanya sambil menunjuk ke arah Kit Siang yang berada di galeri awam.
Sementara itu, Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohd. Ashraf Mohd. Yunus menafikan kekerasan fizikal dan serangan psikologi digunakan terhadap Beng Hock bagi mendapatkan pengakuan dan maklumat semasa dia ditemu bual selama dua jam pada 15 Julai lalu.
Saksi inkues ke-19 itu yang bertanggungjawab membantu pegawai SPRM, Arman Alies menemu bual Beng Hock juga memberitahu, dia tidak mendengar sebarang pergaduhan atau suara orang bertengkar pada hari yang sama.
Jawapan tersebut menyebabkan Gobind naik berang dan mempersoalkan keterangan pegawai penyiasat, Mohd. Anuar Ismail sebelum ini yang mengatakan terdapat pergaduhan antara Beng Hock dan Tan Boon Wah dalam tandas SPRM.
Tindakan itu menyebabkan Abdul Razak bangun membantah serta meminta Gobind bertanya soalan tersebut kepada pegawai SPRM, Bulkini Paharuddin yang memberikan maklumat tersebut kepada Mohd. Anuar.
Dalam pada itu, Gobind turut mendedahkan laporan polis oleh beberapa orang saksi kes lain yang mendakwa didera secara fizikal dan mental oleh pegawai- pegawai SPRM semasa mereka disoal siasat.
Sehubungan itu, beliau memohon untuk menyoal Mohd. Ashraf berhubung laporan polis tersebut bagi membuktikan wujudnya penderaan dalam SPRM dengan saksi itu didakwa terlibat melakukannya. Prosiding inkues bersambung 8 September ini. - Utusan


No comments:
Post a Comment