PUTRAJAYA 20 Ogos - "Hari ini SPRM dapat 'hadiah'." Begitu reaksi bersahaja Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan merujuk kepada insiden pejabat cawangan SPRM Klang dilempar bom api atau molotov cocktail hari ini.
Nada sinis itu diluahkannya ketika beliau berucap pada majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang SPRM di sini.
Bagi Ahmad Said, insiden itu ternyata sedikit pun tidak menggoyahkan semangatnya berikutan beliau masih mampu bergurau pada majlis itu.
Malah, pada bulan lalu, Ahmad Said sendiri turut menerima sepucuk surat berunsur ugutan bunuh.
"Kejadian ini adalah satu ancaman, tetapi ia tidak akan melemahkan semangat atau menghalang kami untuk terus menjalankan tugas menyiasat mereka yang terlibat dalam rasuah," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas majlis itu hari ini.
Menurut Ahmad Said, beliau menerima laporan hanya sebuah kenderaan pacuan empat roda milik SPRM telah mengalami kerosakan ekoran letupan bom api yang dilempar.
"Maklumat awal terdapat empat molotov cocktail, ia cukup untuk membakar seluruh bangunan kalau tak dihalang," jelas beliau.
Tambah Ahmad Said, semua pegawai SPRM adalah mereka yang terlatih dan sentiasa sedia berdepan sebarang kemungkinan.
Dalam kejadian awal pagi ini, sebuah kenderaan rasmi milik SPRM cawangan Klang hampir hangus selepas dilempar bom api di tempat letak kereta pejabat suruhanjaya itu di Jalan Kota.
Kejadian itu disedari pegawai SPRM bertugas kira-kira pukul 7.12 pagi setelah mendapati bahagian hadapan kiri kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail itu hampir hangus. - Utusan.


No comments:
Post a Comment