Laman Web SPRM

Saturday, August 8, 2009

Konspirasi jatuhkan SPRM - TPM

PERTH 6 Ogos - Ugutan bunuh yang diterima Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dipercayai bermotif untuk meruntuhkan institusi tersebut sekali gus merosakkan imej kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, ugutan tersebut berniat jahat semata-mata untuk menakut-nakutkan Ahmad Said daripada menjalankan tanggungjawab agensinya membanteras kegiatan rasuah habis-habisan di negara ini.

''Memang ada pihak hendak jatuhkan imej dan maruah SPRM supaya apa yang dilakukan institusi itu nanti tidak lagi diyakini dan dipercayai oleh rakyat.

''Ini sepatutnya tidak berlaku kerana sebelum ini mereka sendiri (pihak terbabit) menuntut supaya Badan Pencegah Rasuah dijadikan taraf diraja dan bebas. Ugutan seperti ini seperti nak 'tembak ke kiri dan kanan' supaya institusi kerajaan akhirnya dirosakkan," katanya.

Beliau yang dalam lawatan kerja lima hari ke Australia berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas melawat Sekolah Menengah Tinggi Mount Lawley di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan polis menerima laporan ugutan bunuh terhadap Ahmad Said dan sedang menyiasat perkara tersebut.

Menurut Abdul Khalid, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Surat ugutan itu dihantar ke pejabat SPRM Selangor kira-kira seminggu lalu.

Ahmad Said dilaporkan menerima ancaman bunuh berikutan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock selepas disoal siasat SPRM baru-baru ini.

Surat tulisan tangan tersebut yang dialamatkan kepada Ahmad Said dikatakan diterima melalui pos oleh pejabat SPRM Selangor yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam pada 24 Julai lalu.

Ditanya kemungkinan dakwaan ugutan bunuh itu sengaja diada-adakan untuk mewujudkan rasa simpati kepada SPRM yang teruk dikritik pakatan pembangkang kebelakangan ini, Muhyiddin berkata:

''Saya tidak fikir begitu sebaliknya mereka sebenarnya berniat jahat hendak menimbulkan kesangsian rakyat serta merosakkan kredibiliti SPRM." - Utusan

No comments:

Post a Comment