KUALA LUMPUR 20 Ogos - Polis sedang menyiasat kaitan antara kejadian pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Klang dilempar molotov cocktail hari ini dengan ugutan bunuh yang diterima Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, semua pihak bagaimanapun dinasihatkan tidak membuat andaian sendiri berhubung kedua-dua kejadian itu dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi mencari kebenarannya.
"Buat masa ini, masih terlalu awal untuk mengatakan ia ada kaitan dengan kes Teoh Beng Hock. Berikan peluang kepada polis untuk siasat terlebih dahulu.
"Pada masa yang sama, saya harap semua pihak elak buat spekulasi agar ia tidak mengeruhkan keadaan. Jangan tokok tambah atau mudah percaya khabar angin yang tidak benar," katanya.
Ismail bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan khas dan forum sempena Bulan Kemerdekaan ke-52 di Institusi Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa di ibu negara hari ini.
Dalam kejadian awal pagi ini, sebuah kenderaan rasmi milik SPRM cawangan Klang hampir hangus selepas dilempar molotov cocktail di tempat letak kereta pejabat suruhanjaya itu di Jalan Kota.
Kejadian itu disedari pegawai SPRM bertugas kira-kira pukul 7.12 pagi setelah mendapati bahagian hadapan kiri kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail itu hampir hangus.
Pada 24 Julai lalu, Ahmad Said mendedahkan beliau menerima sepucuk surat berbentuk ancaman bunuh untuk membalas dendam atas kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock. - Utusan.


No comments:
Post a Comment