PUTRAJAYA 25 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pihak tertentu jangan menjadikan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai mainan politik atau sentimen mereka.
Tegas Perdana Menteri, pihak berkenaan tidak boleh menuding jari menyalahkan SPRM hanya berdasarkan kes tertentu khususnya kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.
Menurutnya, dalam apa jua keadaan, semua pihak diminta tidak terlalu cepat menyalahkan institusi itu dalam usahanya untuk memerangi rasuah dan membawa urus tadbir baik untuk negara.
‘‘Kerajaan masih yakin dengan kewibawaan SPRM. Dalam kes melibatkan mendiang Teoh, saya percaya ia bukan suatu yang diinginkan oleh SPRM sebab insiden berlaku di pekarangan bangunan SPRM (Selangor).
‘‘Sudah tentu ia menimbulkan banyak persoalan tentang kredibiliti SPRM namun saya harap ia tidak dijadikan mainan politik kerana ini boleh membawa keadaan negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2009 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Perdana Menteri ditanya tindakan pihak tertentu mempertikaikan kredibiliti SPRM dalam mengendalikan kes tertentu sehingga dikatakan berlaku unsur ugutan dan gangguan terhadap pegawai agensi itu dalam menjalankan tugas.
Suatu ketika keadaan itu menyebabkan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull mengeluarkan kenyataan mahu menghentikan siasatan pihaknya terhadap semua kes membabitkan ahli politik.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kekecohan yang berlaku ketika SPRM cuba menahan pembantu kepada seorang Exco kerajaan Selangor, Wong Chuan How, 50, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa wang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Najib, dalam menyiasat kes kematian Beng Hock, kerajaan telah pun bersikap telus dengan memulakan inkues oleh mahkamah dan selepas ini menerusi penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi meneliti prosedur siasatan SPRM.
‘‘Jika ada yang tidak memuaskan, maka kita akan buat langkah pembetulan.
‘‘Kita bersikap telus dalam segala hal dan diharap dengan ketelusan ini, rakyat faham bahawa kerajaan tidak akan menutup kelemahan di mana-mana,” katanya.
Mayat Beng Hock, 30, yang ditemui di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam bulan lalu menjadi misteri kerana kejadian berlaku selepas mendiang memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan tersebut.
Siasatan tersebut berkaitan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan beberapa orang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor. - Utusan


No comments:
Post a Comment