Laman Web SPRM

Friday, August 21, 2009

Ada kaitan dengan kongsi gelap, samseng?

PUTRAJAYA 20 Ogos - Kejadian sebuah kenderaan milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilontar molotov cocktail di Klang pagi ini mungkin mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan samseng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, pihak berkuasa kini menyiasat kejadian itu.

Kata beliau, insiden itu sekali gus mengukuhkan kenyataan Ahli Parlimen Wangsa Maju dari pakatan pembangkang, Wee Choo Keong baru-baru ini bahawa wujudnya kegiatan kongsi gelap di Selangor.

''Kejadian itu tentunya tidak sama sekali menghalang usaha dan tanggungjawab SPRM.

''Sebab kerja macam itu hanya dilakukan orang pengecut, ada kemungkinan ia berkaitan dengan kongsi gelap,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang SPRM di sini hari ini.

Nazri turut mengingatkan semua petugas SPRM supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan melengkapkan diri dengan senjata yang dibekalkan untuk pertahanan diri.

''Jadi memang wajarlah langkah SPRM sebelum ini mempersiapkan petugas mereka dengan senjata dan menjalani latihan menembak, sebab untuk berdepan dengan masalah seumpama inilah," katanya.

Mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan memohon penjelasan SPRM negeri itu kerana membuka semula siasatan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin selepas SPRM menerima bukti baru berhubung kes berkenaan, Nazri berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak ada hak untuk memohon penjelasan.

''Biarkanlah SPRM jalankan apa jua siasatan dan takkan kita nak ganggu siasatan semata-mata untuk memberitahu secara terbuka atau kepada sesiapa sahaja.

''Lagi pun bukan dia (Guan Eng) yang berhak dapat penjelasan, hanya orang yang bagi maklumat dalam siasatan sahaja yang boleh, itu pun perlu memohon," katanya. - Utusan.

No comments:

Post a Comment