Laman Web SPRM

Wednesday, August 12, 2009

Beng Hock Inquest : Gobind persoal guna bahasa Melayu

SHAH ALAM 11 Ogos - Para peguam pemerhati inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini mempersoalkan tindakan Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Dr. Khairul Azman Ibrahim memberi keterangan dalam bahasa Melayu sedangkan laporan bedah siasat disediakan dalam bahasa Inggeris.

Peguam pemerhati bagi keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo meminta saksi menggunakan bahasa Inggeris kerana seorang lagi pakar patologi forensik, Dr. Prashant Naresh Samberkar yang turut menyediakan laporan itu akan memberi keterangan dalam bahasa tersebut.

Menurut Gobind, beberapa maklumat penting yang disebut dalam bahasa Melayu oleh Khairul yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang juga tidak tercatat dalam laporan bedah siasat itu.

''Kami mohon saksi bercakap dalam bahasa Inggeris atau mahkamah menasihatkan saksi agar memberikan jawapan yang tepat dalam bahasa Melayu berdasarkan laporan bedah siasat,'' katanya.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar yang meminta agar saksi menggunakan bahasa Inggeris pada bahagian-bahagian tertentu sekiranya perlu.

Sementara peguam dari Majlis Peguam Selangor, Rajpal Singh pula membangkitkan soal masa yang panjang diperlukan kerana Khairul terpaksa menterjemahkan semula tujuh daripada lapan muka surat laporan bedah siasat yang disediakan dalam bahasa Inggeris itu.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan bagaimanapun menyatakan, masalah penggunaan bahasa Melayu tidak perlu dijadikan isu kerana laporan bedah siasat itu telah ditanda sebagai bahan bukti dan salinan diberikan kepada semua pihak.

Katanya, walaupun beberapa maklumat tidak disebut sebagaimana laporan bedah siasat, saksi tidak mempunyai sesuatu untuk disembunyikan selain beliau berhak memilih bahasa yang ingin digunakan semasa memberi keterangan sebagaimana peruntukan mengikut Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan. - Utusan.

No comments:

Post a Comment