KUALA LUMPUR 17 Ogos — Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menasihatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya terus menyiasat semua kes rasuah tanpa mengira kedudukan dan latar belakang seseorang.
Pengerusinya, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, lembaga berpandangan bahawa SPRM mempunyai tanggung jawab undang-undang bagi pencegahan rasuah dengan cekap dan berkesan.
“LPPR yang diwujudkan melalui undang-undang mempunyai peranan untuk memastikan SPRM terus melaksanakan tugasnya dengan bebas, telus, berkesan dan profesional dalam membanteras jenayah rasuah di samping memastikan keadilan dilaksanakan ke atas semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sabtu lepas, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdul dilaporkan berkata, pihaknya akan memberhentikan siasatan serta-merta terhadap semua kes membabitkan ahli politik ekoran suruhanjaya itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak berhubung cara siasatan dijalankan.
Shukri membuat kenyataan itu ekoran SPRM dituduh bertindak kasar ketika menahan pembantu kepada exco kerajaan negeri Selangor, Wong Chuan How, 50, di pejabat perkhidmatan wakil rakyat di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.
Abdul Hamid berkata, LPPR dalam mesyuaratnya hari ini telah membincangkan dengan mendalam kenyataan Shukri itu. - Utusan.


No comments:
Post a Comment